Selasa, 3 Januari 2012

Bukan Mendung di Padang Lalang

                              OLEH: Yatim Ahmad 



AKU menginginkan Awa cepat berkumpul dengan kami pada penghujung Ramadhan ini. Pulang dan mengambil cuti lebih awal daripada majikannya Hospital Besar Melaka. Aku mahu dia ikut berkumpul menanti saat takbir membuka tabir Aidilfitri. Jangan terlewat. Jangan sampai penerbangan yang dijanjikannya minggu ini ditunda. Esok, katanya.
Bukan aku minta ole-ole dari Melaka, bukan pula meminta beli baju kurung. Bukan juga penghargaan untuk kasih sayangku selama membesar dan mengasihinya. Bukan. Jangan ditanya suatu ungkitan ini semua kepadaku, pesanku kepada anak-anak. Aku hanya mahu meraikan kasih sayang keluarga, seluruhnya, bukan hanya kasih yang melekat didadaku sejak pertama melihat mereka lahir atau muncul di muka bumi ini.
Tapi kecintaan kepada anak perempuan ku yang satu ini. Kecintaan keluarga, abang-abang dan kakak-kakaknya. Selepas kehadiran Isman, Nizam dan Fariziah dalam hidup kami, Awa dikirim Tuhan kepadaku bersama dua lagi abang dan kakaknya. Kemudian kami sepereti suatu kumpulan keluarga yang besar.
Memang kehidupan seorang isteri yang memiliki kerjaya di syarikat korporat banyak yang perlu dikhuatiri. Banyak masa untuk menumpukan sasaran perniagaan, mana pula mengasuh dan memastikan pendidikan anak-anak yang ramai. Walaupun lima anak-anak membesar dan memahami peraturan dan tegahan ibu bapa, tetapi yang satu ini, Awa, dengan pertubuhan badan yang selalu lemah, kadang sakit-sakitan membuat aku selalu rungsing.
Kasih sayang ku yang tumpah, sepenuhnya, walaupun  kadang membuat aku risau anak-anak lain, jika mereka berasa terpinggir. tetapi hati lima beradik yang sayang kepadanya, malah melebihi aku.
Dengan kehidupan kami yang terpaksa berbahagi masa, kadang kasihan melihat mereka mengurus diri sendiri, tetapi masa yang cepat membesarkan mereka, menjadikan matang menangani diri sendiri, memikul cita-cita mahu berjaya, seperti ibu mereka, esekutif perhubungan awam Jabatan Elektrik Negeri.
Walaupun aku kadang-kadang terpaksa bertugas diluar daerah, tetapi soal pembelajaran anak, daripada kehadiran kelas hingga menelaah buku menjadi keutamaanku. Biar mereka berasakan kekurangan masa bersamaku, tapi soal masa depan, jangan siapa-siapa yang berani tidak ke sekolah, ponteng dan bermalas-malasan, tidak kuberi tempat di rumah ini.
Biarlah, ketegasan, kalau hanya menengok mereka gembira semasa aku hidup pun kadang-kadang berasa bosan hanya duduk makan sahaja, apatah lagi kalau org tua sudah mati? siapa yang membantu mereka kalau hanya sekadar mengalas kemanjaan orang tua yang sudah mati?
Tapi, aku bahagia dengan anak-anakku. Dengan Isman memulai mengorak masa depan yang diharapkan dapat berdikari, dia menjadi contoh melanjutkan pembelajaran di Universiti Malaya, setahun kemudian Fariziah ke UMS, dan Nizam sekadar polikteknik, tetapi masuk bidang usahawan atas pembiayaan Sedco.
Menyusul adik-adik mereka, Khairi dan Khairizah. Dengan dua ini aku berasa sangat aneh. Walaupun aku selalu lebihkan kasih sayang kepada mereka, dengan segala perbelanjaan, kadang-kadang melebihi abang dan kakak mereka, akhirnya aku menemukan suatu realiti yang berbeza. Khairi hanya mampu menghabiskan tingkatan lima dan terus bekerja sebagai pembantu am rendah di jabatan kerajaan. Tidak mampu menyaingi abang dan kakaknya yang ke universiti atau kolej dan memiliki profesion menarik. Selepas setahun, dia berpindah ke Sarawak dan berkahwin di sana. Khairizah pula memang agak bagus berbanding Khairi, sempat mengambil diploma pendidikan di maktab perguruan. Tidak lama, kemudian menerima lamaran seorang guru berasal semenanjung, lima bulan, ikut suaminya  berpindah ke Pahang.
Dan Awa. Nama timang-timbangan Khawarizah, seperti mengikut jejak abang dan kakaknya merantau di negeri orang. Suatu yang amat ku khuatiri jika ia juga mengikut resam perantauan seperti abang dan kakanya. Dengan memiliki kecergasan otak, tumpuan pembelajaran melebihi semua abang dan kakaknya, dia menjadi anakku yang terakhir di rumah kami, meneduh kesunyian kami di rumah dan menceriakan aku. Anak ku yang satu ini, jadi kesayangan semua, satu-satunya yang perlu kutimbang untuk memenuhi harapan semua orang, bukan hanya aku. Aku hanya menumpang, mungkin hanya dikenang jasa sebagai ibu contoh. Biarlah, asal mereka semua jadi manusia yang mampu dan tahu mengurus diri masing-masing, jangan menyusahkan orang.
Sebaik keputusan STPM diumumkan, kusahakan untuk dia belajar di UMS sahaja, tetapi dasar pengambilan USM tanpa menerusi UPU, menyebabkan dia dijemput keluar secara terhormat di luar sempadan negeri ku ini. Selama hampir lima tahun Awa di Pulau Pinang dan selepas mendapat sarjana muda, dia pula ditawarkan bekerja di Hospital Bandar Melaka. Masa yang panjang untuk kami tidak ada lagi, setahun barangkali hanya beberapa minggu, membuat aku sepi dan kerinduan sendiri, betapa aku menyalah Takdir memilih mereka jauh di perantauan dan jadi orang yang berguna, dengan Awa menjadi doktor, sebagai galang ganti baktinya kepada keluarga. 
Dengan Takdir yang dilalui berbeza anak-anak menjadikan aku dan suami hanya dua makhluk yang menghuni rumah ini. Selepas semuanya berpindah, aku dan suami bagai kembali menjadi seperti mula-mula baru bernikah, hanya berdua, kali ini cuba merawat sunyi dengan kisah anak-anak.
Untungnya musim perayaan, bermula pertengahan Ramadhan, rumah besar ini mula dipenuhi anak, menantu dan cucu kerana mereka singgah untuk berbuka puasa. Begitu Isman dan isteri dan anak, begitu Farizah dan suaminya juga anak bergilir-gilir dengan Nizam dan isteri serta anak-anak berbuka puasa di rumah ini.
Dan aku terlalu rindu Khairi dan Khairizah. Hanya seminggu sebelum Aidilfitri barulah terubat rindu kami. Walaupun hanya dua minggu mereka di rumah ini, seminggu pula selepas Hari Raya, mudah-mudahan terhapus jua keinginanku supaya masa lalu kami dieratkan, bukan didekatkan dengan talian telefon bimbit atau lelayar internet.
Dengan esok atau lusa pengumuman melihat anak bulan dan peristiharan Aidil Fitri, kami semua menanti Awa di rumah ini. Kadang-kadang, kesibukan Awa membuat aku ingin sahaja ke Melaka dan membawa pulang ke negeri ku ini menyambut hari lembaran nanti.
Dialah satu-satunya yang belum mengenal kesedihan dan keterharuan kerana suatu kehilangan. Betapa Awa ketika itu baru berumur setahun, tepat pada masa ibunya, adik ku sendiri menarik nafasnya yang terakhir.
Berita yang kami terima daripada bapa di Hospital Universiti Kuala Lumpur mengkhabarkan Nor tewas oleh rungkuhan kanser, membuatkan aku segera mendakap Awa, dengan  dua lagi anaknya, Khairi dan Khairizah yang sudah tahu erti kehilangan, bakal berasakan keperitan, membuat aku seperti tidak wujud lagi untuk mengasihani diri sendiri dan orang lain. Aku hampir pitam.
Betapa, dua minggu lalu abang dan kakaknya yang terakhir melihat ibu mereka di terminal satu sebelum keberangkatan ke Kuala Lumpur, dijanjikan kepulangan yang bererti, walaupun senyuman arwah begitu pahit dan redup wajahnya pada suatu kekuatan luar biasa menahan kesakitan. Ternyata yang bakal kami dihadapi, sebentar lagi, adalah hantaran jenazah yang berbalut kapan putih.
Dengan anak-anak arwah baru mengenali kasih sayang, juga mungkin turut berasakan kesakitan tanggungan ibu mereka, yang diharap akan ceria bersama mereka untuk hari-hari mendatang, kini menghadapi suatu musibah, dengan aku tempat mereka mengadu. Bagaimanakah aku menjawab semua pertanyaan yang mereka tidak fahami soal kematian? Soal menghilangkan semua kesedihan dan kerinduan mereka pada jasad yang sudah tidak berkata-kata dan matapun enggan terbuka untuk melihat kepedihan hati?
Tuhan! panggilan ku memenuhi seluruh rengkungku.
Ya! Allah! Tolonganlah aku! Kalau hati remuk sekalipun, tentu aku dapat merawat kesedihan atas kehilangan ini, tapi siapakah yang dapat memahami hati muda yang berasa pedih ini? Apakah dengan memeluk dan memujuk mereka dapat meredakan kepiluan? Sedang aku sendiri payah, tetapi siapa lagi, kalau bukan aku yang menenangkan keadaan, atau aku ikut lemah dan anak-anak Nor berasakan aku tidak dapat menyelamatkan mereka.
Tapi, mulai saat ini, hanya suatu azam buatku untuk menenang diri, agar anak-anaknya takkan ku lepas kepada sesiapa. Dengan kehidupan arwah sebagai ibu tunggal sejak setahun lalu, aku tidak ingin peninggalannya yang berharga ini jangan terlepas kepada mana-mana tangan manusia, sekalipun itu bekas suaminya.
Walaupun bukan aku menumpah darah melahirkan anak-anak ini, tapi yang mengalir darah di tubuh mereka adalah pertalian ku sendiri, kesakitan melahirkan anak tidak kurang sama pedih dan sakitnya apa yang arwah rasai. Lalu, biarlah aku menanggung semua yang patut aku warisi, selama nyawa masih ada di badan ku ini.
Dengan setiap masa selepas pengkebumian jenazah yang menghibakan hati kami semua, aku cuba mengurangkan suatu yang mencengkam hati mereka. Kali terakhir mata yang terpejam dan tidak akan berkata-kata untuk berpesan, membuat hati anak-anak terluka.
Memang tiada yang perlu dikesalkan. Walaupun pada musim penyesuaian ketiadaan ibu mereka, suatu ketika, mereka enggan makan dan keluar dari bilik kerana menunggu ibu kononya, kadang membuat aku hilang sabar. Tapi, apakan dayaku, jika aku hilang kawalan diri, apatah jadinya anak-anak ini? Dapatkah mereka mengerti jika kupukuli sebagai penegasan bahawa yang sudah dikubur dalam tanah itu, bangkit semula dan memeluk mereka? Lalu mereka mengadu kejahatan tangan ku kepada ibu yang sudah tiada itu?
Tuhan...! batin ku meminta belas kasihannya. Kadang-kadang, kalau aku tidak tahan dengan karenah ini, kuhempas pintu kereta dan ku bawa diri lari ke mana-mana, asal jangan kemarahan yang tidak terkawal itu kuhempas di mulut atau betis mereka. Kupesan kepada abang supaya pujuk mereka bertenang, baru aku pulang kerumah dan menyembunyi semua yang bergelut dalam batinku, yang sering bergelut kesakitan menahan sakit migrane!
Tapi, kesabaran ini akhirnya dapat juga mereka mengerti bahawa walaupun aku bukan ibu mereka, tapi mungkin berasakan keperihatinan dan kesabaranku menjadikan mereka semakin mendekat, memanggil aku umi dan suamiku, baba. Biarlah, suatu pengertian bagi panggilan itu ialah aku mahu mereka duduk dan berada kepangkuanku dengan selamat, tiada yang perlu dikhuatirkan soal makan atau minum, atau soal kasih sayang, soal sekolah dan pembelajaran.
Semakin hari, apa sahaja yang kuselami, daripada rasa sepi dan keterasingan mereka harus ku padam dengan kasih sayang, kukongsi dengan anak-anak dan suamiku, jangan mereka terus berasa kehilangan, bagai rasa tiada tempat berpaut, lalu berputus asa, menjadikan mereka tidak lagi menghargai kelahiran sebagai manusia dan punya saudara.
Mengertilah! Aku selalu berbisik kepada suami jika perangai anak-anak menindih perasaanku. Akulah ibu kepada anak-anak arwah! Walaupun aku tidak menuntut supaya dianggap sebagai ibu kandung, tapi suatu yang menjadikan aku sama sikap ibu bapa kandung, aku juga akan memarahi dan mengomel. Suami memahami ini dan dia menjadi suami yang bijaksana. Kemudian akubangga, mereka sudah menjadi sebagaian anak-anak ku apabila semua persoalan diajukan kepadaku tanpa rasa tersisih daripada abang dan kakak mereka.
Biarlah. Paling penting aku tidak perlu berjauh hati hati jika hanya dianggap sebagai saudara kepada arwah ibu mereka, yang memikul semua tanggungjawab, juga kerana amat menyayangi dan mencintai. Asal kamu berbahagia, anak-anakku, juga anak-anak arwah adikku, jangan kamu simpan dalam hati kemarahanku, pergilah jika kamu ingin menjauhiku!
Apa yang aku boleh buat? memaksa mereka berpura-pura hanya untuk memuaskan hati ku adalah suatu perbuatan yang mungkin menyiksa mereka jua, sedang arwah kalau hidup mungkin akan berasa jauh hati kerana ia seolah-olah aku menyuruh melupakan mereka kepada arwah.
Sungguh, demi Tuhan! dengan Awa mewarisi kencantikan ibunya, sesudah dewasa memiliki lengok bahasa dan cara rajuk arwah, membuat aku seperti menemukan suatu azimat untuk mengubat rindu kami kepada yang sudah pergi. Mudah-mudahan, Tuhan tidak membiarkan aku melukai hati mereka, dan demikian selepas tahu soal kehidupan, asal mereka bahagia jauh dari ku, apa boleh buat? Mereka tetap anak-anak arwah adikku, darah dagingku, cukuplah daripada meminta-minta mereka mengasiku lebih daripada kemampuan mereka sendiri.
Dan akhirnya, aku menemukan kenyataan pada dua anak ku ini mengambil keputusan berkahwin awal kerana berasa enggan menyusahkan aku. Pada mulanya, keputusan mereka begini membuat aku tertanya sendiri. Apakah kesalahanku kepada arwah dan anaknya ini? Tetapi, anak-anak ini, barangkali mewarisi sikap arwah yang suka berdikari, akhirnya aku terima sebagai suatu suratan Tuhan.
Biarlah. Setiap anak akan terlepas juga daripada indungnya, mahu berdikari, sama seperti anak-anak ku yang lain. Asal aku tidak disebut pengasuh yang lalai, dengan semua urusan perkahwinan Isman, Nizam dan Farizah, sama juga ku persiapkan untuk Khairi dan Khairizah, semeriah mungkin, mudah-mudahan aku tidak tertinggal sedikitpun aturacara kemuncak untuk mereka.
Dan selepas semua meninggalkan rumah yang indah ini, tinggal aku dengan suami bersama Awa. Itupun tidak lama selepas dia mencapai keputusan cemerlang peperiksaan STPM, surat tawaran Universiti Sains Malaysia (USM) membuat aku tidak sabar.
"Umi mahu Awa di UMS saja. Siapa lagi yang menemani umi dan baba di rumah ini?"
"Awa juga mahu terus bersama umi. USM tu jauh, baba!"
"Kalau bukan surat USM ini kau terima, Wa, baba tidak kisah, ikutlah kata hati kamu. Tapi, untungnya suatu tawaran itu jangan ditolak semata-mata melayan karenah umi kamu yang mahu sentiasa di depan mata!"
Akhirnya, aku terlepas semua genggaman tangan anak-anak.
"Umi!" Khairiah memeluk belakangku.
"Ya. Kairizah? Siapa menalipon..." aku membulatkan mata sambil memegang jemarinya.
"Awa sudah di KKLIA, mau berlepas sejam lagi!"
Aku bingkas! Dengan mengheret hiba dan rindu yang mengancam kemahuanku bertemu anakku yang satu ini, aku terus ke kamar untuk bersiap-siap, "Isman...! siapkan kereta!"
"Tapi, Mi, Awa baru tiba jam 5 petang. Sekarang baru pukul dua!" Isman bernada pujuk dan lembut. Khairi seolah bersependapat.
"Siapa yang mahu pergi, ikut umi, letakkan kunci di meja!"
Akhirnya Isman menurut. Dan jadilah aku seperti sepanduk kecil yang bermundur mandir di LTKK, tidak kurasa lagi letih berpuasa ini, yang aku tahu ialah skrin dan pengumuman ketibaan penumpang dari Kuala Lumpur dan berdoa.
Kira-kira pukul 5 setengah, bilik ketibaan dipenuhi penumpang dari Kuala Lumpur. Aku semakin tidak sabar, dadaku seperti hampir sesak, walaupun aku menahan sebak daripada memecah empangan mataku, jangan dirembeskan setitis air, tetapi..ya! Tuhan...melihat Awa berlalri-lari anak ke pintu ketibaan membuat aku terpekik, yang lain memerhati.
"Umi!" jerit Awa membuat perasaanku terawang-awangan.
 .
Lihahlah, anaku. Pekikan relung jantungku membuat aku seperti lalang yang ditiup angin, rebah di dada anak ku ini, menghambur semua kehibaan dan rinduku, pada rakulannya, suatu saat yang tidak kunyatakan kerana nafasku seperti hampir habis.
Memang aku bahagia.


(Utusan Borneo, Ahad 4 Sep 2011)

Sabtu, 24 Disember 2011


Nyiur Gading Tinggi Menjulang
   OLEH: Yatim Ahmad
PESAWAT Penerbangan Malaysia meninggalkan tanah semenanjung nun di bawah seperti sekeping layang-layang. Ketinggian kapal mencecah ribuan meter mula menyeberang Laut Cina Selatan, menerbangkan aku dan penumpang lain ke Kota Kinabalu. Aku menoleh makcik Dayangku Zaharah dan suaminya duduk di barisan sebelah, juga menoleh kepada ku, berbalas senyum, walaupun makcik Zaharah agak resah. Kasihan dia.
                Dan inilah penerbangan yang ku tunggu sejak enam tahun lalu, sejak melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, kembali semula ke pangkuan keluarga.
                Selama dua jam lebih penerbangan rasanya terlalu lambat, nenek dan sepupuku, tiga anak makcik Zaharah, menunggu kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Aku selamanya penyabar. Enam tahun telah kulalui, dan ini hanya dua jam lebih, semua kedukaan dan rinduku ikut menyongsong angin seperti sayap Boeing 747-400 yang tergantung diudara, ikut menghayun rinduku yang terkumpul lama di dada, bakal terlerai sudah.
Sekali ini, walaupunselepas ini kami berpisah lagi, kelak aku rancang membawa mereka makan angin kemana sahaja, sebulan penuhpun tidak mengapa.
      Saat untuk memulakan kerjaya memang mengujakan. Bahagia rasanya, walaupun ada sedikit kebimbangan, terutama kesihatan nenek. Tapi, tidak kira di mana sahaja aku bertugas dan memilihnya, aku amat berharap Ayah dan emak ikut ke Sabah, tutut meraikan kejayaanku bersama keluarga di sana, sekalipun hanya sehari.
Masa bersama bukan lagi milik kami sekarang, entah bila kelapangan itu tiba. Keadaan tidak lagi seperti dahulu, jika kedewasaan adalah untuk memilih, maka aku telah memilih untuk lebih mendewasakan diri, mencari pengalaman jauh-jauh, kelak sekali bertemu, berlebihlah kasih sayang itu bererti.
Dan kedewasaan ini, walaupun aku telah mendapat perhatian, banyak atau sedikit, sejak  tahun tiga di sekolah rendah hingga bergelar siswazah, aku tidak pernah menuntut yang bukan-bukan supayasejak dahulu, supaya ayah terus tinggal bersama keluarga di Sabah, dan sekarang aku pula tidak dapat dituntut memenuhi keinginan mereka.
Tapi, aku pendamkan saja semua ini. Lebih baik menerima keadaan sekarang, yang sudah, biarlah berlalu sudah, jangan memberati dengan masa silam.
                Enam tahun lalu, perasaan begini kurasai, menginginkan makcik dan nenek menyertai aku ke Kuala Lumpur. Mengingin pula orang yang sudah tiada, tertanam di pusara itu, ikut serta.
Aku mungkin gila atau separuh gila, tidak cukup mengenang ibu dengan setangkai bunga emas yang kugubah sendiri, ku letak di pusara, sebelum berangkat ke KL, memesan ia dijaga. Kalau-kalau aku dapat menghabiskan pengajian, panjang umur, aku ingin ia ada di situ.
Dengan keadaan di mana semua kecelaruan perasaan itu menghibakan, kutanggung diam-diam hingga kini, jadi kenangan seumur hidupku.
Selepas mendapat ijazah sarjana muda kedoktoran yang ku usaha enam tahun, aku berdoa menjadi anak yang baik dan disayangi keluarga. Mungkin yang sudah tiada itupun dapat merasakan.
                Kepada arwah ibu, aku masih teguh berdoa, kepada Allah juga aku memohon siraman ketenangan, supaya keputusan yang aku buat selepas ini, bukan atas kejengkelan masa laluku. Kerana selama aku hidup di bawah jagaan saudara, bukan ibuku, hanya gambar kenangan ibu menguatkan diri, jangan terus patah hati.
                  Sungguh. Betapa aku mengenang ditarik dari sekolah oleh Makcik Zaharah, lalu bersegera pulang ke rumah, melihat sekujur tubuh ibu yang tercungap-cungap, yang ku panggil tidak lagi menyahut, hanya mengenggam erat jemari ibu dengan suara kurintih, kemudian ibu seperti tidak pernah mengenal ku lagi.
                Ayah pula masih di Perak, menghadiri konvensyen syarikat jualan langsung di Kuala Kangsar, terus pulang setelah mendapat berita. Dengan jenazah ibu menunggu dikuburkan, badanku terbahagi mengasihani ayah, juga payah di pegang, dipeluk jangan terlepas merakul jenazah, hanya tahu memanggil ibu, menangis.
                 Aku sebenarnya hanya ingin mendekati jenazah ibu yang berbalut kain putih itu, tapi mereka tidak memahaminya, seperti tidak memahami permintaanku, yang jelas kupujuk mereka supaya aku tetap disisi jenazah ibu, sebelum di bawa pergi, sebelum yang terakhir, dikuburkan, dan terlepas semua pandanganku buat ibu, selama-lama.
Mungkin mereka mendengar permintaanku, seperti bahasa orang yang muncul dari taufan ribut, khuatir menerbangkan jenazah ibu.
                Betapa aku memahami Takdir pada umur yang mentah, sedang dua hari sebelum ajal, ibu memintal tocang rambutku, sementara ayah bergurau dengan kami, sambil membuat catatan sebelum berangkat ke Perak untuk menghadiri mesyuarat di sana. Ibu kelihatan sihat benar, seolah penyakit barah payu daranya hampir seratus peratus sembuh selepas sebulan di hospital.
                Selepas kenduri 40 hari, atas persetujuan ayah, rumah kami disewakan, dan aku tinggal bersama nenek di rumah makcik Zaharah. Mungkin terpukul kematian ibu, ayah lebih banyak memenuhi jadual perniagaannya, kemudian dilantik mengetuai rangkaian baru di Perak, negeri kelahirannya.
                Aku tergamam. Resah kesana kemari, mahu bersama ayah, tetapi ditunda kerana terlebih dahulu mengurus persekolahan di sana, kononnya, sedang aku tidak menyedari ini semua rancangan supaya aku tinggal terus bersama Makcik Zaharah.
                Siapa lagi kuharap membantu, meminta yang diam dalam tanah, memujuk orang yang hidup itukah, atau aku terus menunggu harapan?
Bertahun aku menunggu dipindahkan, walaupun semakin serasi bersama keluarga makcik Zaharah dan nenek yang mengasihi aku, tapi semakin aku rasa seperti anak terbuang!
Jiwa yang ditikam tanpa tahu benar muslihat menjarakkan masa dan tempat tinggal dengan ayah, seolah-olah suami arwah ibu ku juga ikut mati!
                Walaupun sekali dalam beberapa bulan ayah menjenguk, pertemuan itu hanya seperti suntikan penyakit membuat aku tambah kurus. Kadang ayah hanya seperti seorang tetamu kehormat, duduk sebentar dengan hidangan teh, membuka bungkusan hadiah, dihulur kepadalu, kemudian pergi seperti aku anak patung yang geremos. Terbata-bata.
                Memasuki tingkatan satu menambah sukar pertemuan kami, terbiasa pula tanpa ayah pada Hari Raya Aidil Fitri, bersendirian menziarahi pusara ibu. Akhirnya, ketiadaan ayah rasanya lebih menyenangkan aku, tenteram semua jiwa yang pahit.
                Kemudian hari mendukacita itu tiba tanpa kuelak. Kunjungan ayah sekali itu membawa khabar akan berkahwin. Walaupun aku dan makcik ikut ke Perak meraikan majlis perkahwinan, berkenalan dengan emak, aku seperti orang asing ditengah keramaian yang meriah, seumpama perkahwinan anak-anak raja. Aku tinggal melangui!
                Semua yang aku alami semasa kecil, meningkat remaja, kukumpul erat dengan telahan yang saksama, jangan terus berjauh hati dengan ayah, atau jika ayah sendiri melepas semua ikatan, apa aku boleh buat? Menerimanya lebih baik atau aku terus jadi anak tunggul menunggu wang kiriman seperti pengemis.
Semasa bercuti semester pada tahun pertama aku di Universiti Malaya, ayah muncul membawa pulang ke Kuala Kangsar. Walaupun aku berat hati, untuk belajar menjadi sebahagian keluarga ayah, atau aku pulang bersama rakan sekolej ke rumah keluarganya di Melaka, menjadi keluarga angkat mereka.
Dengan atuk sangat memaksa ayah kerana kepingin bertemu aku, cucu perempuannya yang maju ini, mungkin mahu memanjakan, atau barangkali mahu mengubat hati yang sepi merindukan keluarga di Sabah, akhirnya aku mengalah kerana ayah dan emak menunggu di luar kolej kediaman.
                 Suatu ketika, semasa minum teh petang, ayah dan emak pula di Kuala Lumpur, atuk menceritakan keadaan ayah selepas ibu meninggal.
                “Ayah kamu tu, selepas ibu kamu meninggal, macam kurang siuman. Kerja tertangguh dan tidak pulang ke Sabah. Kadang-kadang, berjalan kaki entah ke mana, seperti tidak terurus lagi. Jadi, atuk bawa ke hospital menjalani rawatan kaunseling. Kata Doktor, ayah terlalu banyak berfikir. Tapi, tahapnya pada masa itu agak serius,” Perlahan-lahan atuk bercerita.
                Aku merenung atuk: “Kenapa ayah tidak beritahu Zana, Tuk?”
                “Ayah enggan kerana tidak mahu Zana pula cemas di Sabah. Untungnya, keluarga lain turut membantu meredakan kerungsingan ayah kamu. Berubat kampungpun ada. Tapi, pada masa itu ayah ada mempunyai seorang rakan karib, bekas rakan sekolah...rakan karib, faham? Yang pandai mengambil berat tu..?”
Kami ketawa kerana nada suara atuk melucukan.
                “Rakan karib ayah kamu tu, dialah yang tolong nasihatkan, pujuk, macam-macamlah. Saudara belah atuk juga. Sepupu dua kali. Barangkali, Allah datangkan ubat buat ayah kamu,”
                “Perempuankah Tuk?”
                “Iyalaah!”
“Mana perginya rakan karib ayah tu sekarang tuk?”
 “Eh!Emak kamu tu laah!”
Mendengar cerita atuk, aku terus menghubungi ayah di KL, bertanya bila ayah pulang.
                “Ayah dan emak balik awal pagi esok. Apa hal tu, Zana? Cemas sahaja, atuk kamu tak apa-apakah?
                “Zana rindu ayah. Balik cepat, pastikan ayah dan emak selamat!” aku mematikan telefon bimbit.
                Sejak itu, aku cuba memadam semua perasangkaan terhadap ayah. Emak pula mengambil berat jika tidak menyertai urusan perniagaan dengan ayah ke KL, menjaga aku, membawa makan angin, sesungguhnya, semua menyenangkan hati.
                Sementara, enam tahun aku tidak pulang, kesihatan nenek kadang tergugat. Memang payah menjelaskan penerbangan murah bukan bererti mudah pulang begitu sahaja. Sedangkan balik bercuti dua-tiga hari di kampung ayah melemahkan kudratku. Dengan bebanan kerja kuliah yang menumpuk, semakin aku letih, semakin aku lemah, semakin aku memaksa bertahan.
Aku bukannya pelajar yang memiliki kekuatan tenaga berbanding siswi lain, hanya azam menyandar tubuhku, jangan tumbang, lemas tidak berdaya, seperti sehari selsema, aku jadi seperti daun sayur yang layu.
      Dengan penumpuan sepenuhnya di kampus, membantu melancarkan kegiatan kepimpinan pelajar, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), menyertai program kebajikan pelajar, memenuhi tugas di Fakulti Perubatan, aku berharap tiada malapetaka baru yang mungkin melemahkan aku.
Hanya makcik Zaharah faham situasiku di kampus, mencipta kejayaan, perlu komitmen, bukan pula membuang-buang masa,mencicirkan cita-cita, pulang hanya menyenangkan hati.
                Dengan nenek ditemani ramai sepupuku, anak makcik Zaharah, keluarga ayah juga bertambah empat dengan dua adik lelakiku, aku semakin tenang di dewan kuliah, menjalani praktikal di Hospital Universiti dan menyiapkan kerja lapangan dengan senang hati. Jika apa-apa berlaku kepada mereka, bahkan banyak pembantu, mengurangkan kesulitan. Aku pula jangan dikisah.  
Semuanya menuntut perhatian tidak sedikit, seratus peratus, biar kubayar dengan kesihatan sendiri, sampai kurus melidi, asal jangan cita-cita terkulai terus, masa depan jadi tandus.
Jadi, kedewasaan ini menjadikan aku emosi, mengetahui pula helah ayah dan keluarga menahan aku daripada ikuti pindah ke Perak, dulu, aku maafkan sahaja. Aku tiada hak untuk meminta lebih, dengan umur yang mentah, tiada siapa yang sudi menolong, hanya menurut.
Biarlah. Masa sudah berlalu. Sejak itu, aku sentiasa menambah kekuatan diri dan gagah semahu-mahunya,agar semangat jangan patah oleh apapun. Aku mencipta harapanku sendiri, supaya lulus peperiksaan memperolehi 13A dan memasuki universiti.
                Selepas tamat pengajian, aku mengambil keputusan terus menjalani praktikal di Hospital Universiti. Terus mendalami ilmu, menepis hubungan cinta di kampus. Kira-kira enam bulan lamanya aku disana sementara menunggu majlis konvokesyen. Seminggu sebelum majlis berlangsung, makcik Zaharah bersama suami datang ke KL untuk menghadiri konvo dan kami ke Kuala Kangsar, menghabiskan masa bersama keluarga ayah di sana.
                Saat berbahagia itu tiba di mana aku tidak menyangka menerima anugerah Naib Canselor kerana sumbangan dalam kepimpinan pelajar dan kecemerlangan akademik.
Semuanya, kini, kegembiraan yang kubawa pulang kepangkuan nenek, yang mula-mula meraikannya adalah makcik Zaharah serta suami, ayah dan emak.
                Sehari selepas konvo, kami pulang ke Sabah. Ayah dan emak hanya menghantar di airport, tidak seperti yang kuharapkan ikut terus ke Sabah. Tetapi, jadual perniagaan yang sibuk, membuat aku hampir memusuhi Kuala Lumpur yang sering menunda keinginanku untuk bersama keluarga.
                Tidak dapatku berkata sewajarnya, mengucap terima kasih kepada emak yang memerhatikan diriku, dengan atuk tidak henti-hentinya merangsang semangatku, dengan dua adik lelakiku yang semakin membesar, juga menceriakan aku.
Emak mewajarkan keibuaan yang manis dengan kasih sayang, tak berbelah bagi, bukan anak kandung, membuat aku turut disayangi saudara maranya. Walaupun ibu kandungku yang pertama dan terakhir sudah tiada, emak pula ingin memiliki aku sebagai anak perempuan kandung, tetapi tiada sesiapa, hatta diriku dapat memberikanharapan yang dimintanya itu, melainkan keikhlasan pada simpulan kasih ayah. 
Mudah-mudahan emak mengerti jua. Semua kenangan itu kubawa pulang, juga yang kukenal di Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur, walau tidak menanya perasaanku di negeri orang, ikut memberi semangat, supaya aku jadi manusia yang tahu mengenang budi.
Aku pulang ke Sabah. Menjenguk pusara ibu. Dunia mungkin berubah, tapi hati tetap akan mengingati dan berdoa untuk keselamatan kami semua, Insya-Allah!
                “Sebelum keluar negara, telefonlah emak, Zana. Kirim salam dengan nenek,” Emak kupeluk, melepaskan semua terima kasihku, membuat aku meggeletar. Semua bebanan dada ku yang memberat, kulepaskan di dadanya, daripada belajar mengenali, mengasihi emak dan mencintainya, kemudian menjadi sebahagian hidupnya di tanah Malaya ini.
                “Zana sayang emak,” Hanya itu yang kuluah. Tak mampu dengan gelombang dada yang menyesak ini. Emak mengesat pipiku.
“Jagalah diri baik-baik, anakku. Sayang kau keluar negeri, kalau ayah dapat memujuk supaya ia ditunda, ” aku menyambut tangan ayah dengan sepuluh jari ku.
“Zana juga sayang ayah,” agak lama kuletakkan pipi di tangan ayah selepas menciumnya, menahan hiba, kerana tangan inilah pernah membelai arwah ibuku, mengasihi aku, anaknya.
                “Zana mohon maaf, yah. bukan tidak mahu terima tawaran ayah membuka klinik sendiri, tapi nantilah, cari pengalaman dahulu,” Aku melawan sebak dadaku, jangan ayah berkecil hati.
                “K amu tetap anak ayah yang baik,”
                Selepas mendakap dan mengucup pipi adik lelakiku, kami berpisah. Makcik Zahara menghampirku, mengenggam tangan, membimbing kami ke pintu pemeriksaan.
                Dengan pendaratan pesawat berbaki beberapa minit lagi, aku membetulkan tudung, khuatir nenek membanding aku dengan arwah ibu yang suka kekemasan, menjaga penampilan jangan seperti anak ayam yang terus berkiap kehilangan indung.
                Selepas mendarat dan masa bertenang, kami keluar dari pesawat, sementara suami makcik menunggu bagasi, aku terus keluar dari bilik ketibaan, dikerumuni sepupu yang kuseret memeluk nenek dengan hibaanku.
Lalu, kutuangkan semua kedukaanku di dadanya.Nyeri kurasakan kegembiraan sekejap ini. Kami  terus ke pusara ibu, dengan sekuntum bunga emas ku genggam di dada, dekat nisan ibu, tak tertahan daku merintih bacakan surah Yassin, mengalir semua kehibaan di dada yang terkumpul sejak ibu tiada. Kemudian memberitahu kepulanganku, dan pergi sekali lagi, seperti yang di bawah tanah pusara itu datang memujuk.
Mungkin juga beberapa hari ini nenek bersedih semula, pada masa sesuai kuberitahu jua, hanya sebulan sahaja kami bersama. Selepas itu aku akan berangkat, kali ini keluar negara, menyertai kesatuan perubatan antarabangsa di Perancis, sambil melanjutkan pengajian sarjana, kemudian PhD di negara itu. Dan yang ini mungkin lebih lama lagi, seperti arwah ibu, meninggalkan semua orang yang kukenal di sini.

Layang-Layang Meredah Laut
OLEH: Yatim Ahmad


KUTANGGUNG semua musibah yang menimpaku. Tiada lagi abang yang mendengar keluhan, menenangkan jiwa. Mereka sudah berangkat, abang Hadi, yang tua bekerja i kilang elektronik di Pulau Pinang, abang Muhd Roslan yang tengah di Johor Bahru, abang Abdul Halim di Singapura. Dan, aku tersumbat di asrama sekolah!
        Sejak ibu terlantar di hospital Mesra Bukit Padang, semua laki-laki itu lari sejauh-jauhnya. Entahkan patah hati, kecewa, entahkan mahu semahunya melepas semua kongkongan menjaga orang tua yang sakit.
Tinggal aku yang mengawasi ibu, melihat setiap inci kulit tubuhnya dikunyah penyaki, hari ke hari.
Apalah yang aku boleh buat. Simpatiku bukan ubat penawar untuk mengurangkan kesakitan ibu,pada masa dia tidak memahaminya, dengan keadaan semakin kurus dan lesu, aku hanya mampu berdoa selalu, jangan ikut sakit kerana dituangkan kepahitan, mungkin jadi tuba, meracun diriku.
Jika ayah tidak peduli, biarlah, yang terlantar itu hanya jandanya. Manakala abang Hadi, Roslan dan Halim hanya anak tiri. Aku pula hanya anak perempuan, tidak ada kekayaan kepadaku ini.
Sayangnya aku kepada ayah. Sejak bercadang bernikah ibuku, memang menimbulkan pertelingkahan dengan dua isterinya. Atas cadangan mereka, ayah dan ibu bernikah sembunyi-sembunyi, menutup malu kononnya. Entah apa syaratnya,selepas aku lahir, mereka meragut ayah perlahan-lahan dari ibuku, mencerca aku seperti bukan anak manusia, hanya anjing!
Anehnya, aku hanya satu-satunya anak perempuan, sedang semua anak ayah daripada dua isterinya laki-laki,barangkali khuatir harta ayah ditumpahkan banyak kepadaku, ibu diperlakukan seperti tidak bermaruah.
Ayahku orang kaya, tentu. Usahawan yang mendapat untung kerana naungan kekayaan ayahnya, datuk ku, seorang tokoh korporat, juga tidak ambil peduli cucunya hidup atau mati. Terserah. Sebagai anak lelaki sulung yang bakal memimpin pelbagai syarikat, nama keluarga jangan diberi malu.
Ibuku cantik, suatu anugerah kerupawan dan anggun wanita. Ditemui seperti sebutir intan yang terkambus dalam kehidupan seorang lelaki, dan selepas suaminya mati, perkabungan dan simpati bekas majikan suaminya, bertukar menjadi intaian nafsu.
Umpan mula dipasang, atas nama simpati menawarkan ibu pekerjaan penganti arwah suaminya, sebagai sebahagian setiausaha syarikat yang tidak berkelayakan kerana hanya berkelulusan SPM. Tetapi perlahan-lahan ditarik, dihias dengan kebendaan, lalu masuk perangkap, dijerumus jadi teman sosial apabila ada urus niaga di luar daerah,luar negeri apa lagi!
Kerana kuatnya tarikan pesona dan aura ibu dan lemah pula laki terhadap cinta, lalu menikah, sembilan bulan ditanggung perut, aku lahir jadi sepenuh manusia. Abang-abang tiri belah ibu jadi manusia beruntung kerana tempias kekayaan ayah tiri mereka.
Semakin hari, intaian kejahatan dipanahkan kearah ibu, lalu menyuntik racun fitnah di kepala ayah, lama kelamaan ikut memaki dan tergamak menuduh aku anak hasil kecurangan, ibu diberhentikan kerja dan dihumban seperti bangkai. Sikap semua abang tiri terhadapku juga berubah!
Semua harta, walaupun milik ibu dengan suami terdahulu, dipungut tanpa rasa malu. Tinggal dua rumah teres, salah satu pusaka suaminya dulu.
Hanya sejumlah wang sara hidup dikirim setiap bulan untuk ku, yang disoraki dua betina itu sebagai belas ihsan buat anak zina!
Sejak bekerja sebagai promoter di sebuah syarikat produk kecantikan, kesihatan ibu semakin hari terus meruncing. Walaupun gejala kerungsingan dan kemurungan menimpanya berbelas tahun dapat dikawal, berubat kampong dan klinik pakar, tetapi sejak lima tahun lalu parasit yang tidak dikenalpasti doktor merengkuh seluruh urat dagingnya seperti akar kanser, lalu suatu hari ibu tiba-tiba histeria di pejabat.
Selepas diihantar pusat perubatan swasta, ibu ditunjuk pula ke hospital Mesra Bukit Padang, terus jadi penghuni tetapnya. Bermula saat itu, tiga abangku yang sudah lama berputus asa kerana tidak mendapat bahagiaan kekayaan ayah tiri mereka, menunding aku sebagai punca malang.
Kalau kepala mereka dibanjiri minuman keras dan pil khayal, ibuku yang juga menumpahkan darahnya sendiri melahirkan mereka , dianggap perempuan yang berkahwin dengan kepala syaitan, lalu melahirkan syaitan kecil.
Memang sebelum bernikah dan aku lahir, ibu sering meninggalkan mereka kerana tugasan luar daerah dan kadang keluar negeri. Ibu pernah berkata, tugas di luar daerah itu memang benar, tetapi kerana selalu terlepas memerhatikan anak-anak, mereka tersasar daripada anak yang rajin bersekolah, jadi anak liar, terpengaruh menyia-nyiakan harta kekayaan bapa tiri, yang disangka dapat terus mengusung hidup mereka sampai mati!
Ulah begini, bukan sahaja merunsingkan ayah, tetapi gara-gara terbuai oleh harta orang, mereka mendedahkan peribadi yang buruk, menunjuk samseng sesama adik beradik tiri, lalu berjangkitan menjadi perbalahan antara madu ayah.
Anak laki-laki yang kononnya mahu mempertahankan hak ibu, akhirnya terjelepuk kerana menyangka bahagian penceraian ibu meninggalkan harta yang tidak habis dibelanjakan. Lalu, harapan yang diciptakan oleh nafsu boros itu, bertukar mimpi ngeri apabila terpaksa bekerja keras untuk memenuhi keperluan hidup.
Pernah ibu berkata kepada ku sebelum histeria dulu, ,”Barangkali dosa ibu dibalas Tuhan di dunia ini. Kalau ibu mati kerana penyakit ini, jangan peduli mereka tidak datang, kerana ibu telah membawa aib, juga terpalit di mukamu. Kuburkan ibu disamping arwah laki ku dulu!”
Semua rahsia ibu tersimpan dalam hatiku. Aku membelanya di hadapan abang kerana aku membenih dan lahir, bukan atas kesilapan, tetapi cinta ayah dan ibu. Aku lahir atas perkahwinan yang sah, tidak ada kena mengena dengan tuduhan nista mulut yang kotor.
Apapun daya ku sekarang hanya menunggu kalau setiap detik dan waktu yang berputar itu menaruh simpati kepada ibu supaya dia sihat sedia kala, jika tidak memang kehendak Tuhan semua. Yang sudah pergi kerana berasakan aib, biarlah berambus saja! Jika mereka terus sampia hati, aku berdoa mereka sempat bertaubat dan bertemu ibu. Aku janganlah dicari.
Biarlah umur mudaku ini merawat baki umur ibu yang terus tergantung di hospital. Mungkin benar kata mereka, aku harus membalas jasa ibu kerana menumpangkan perutnya selama Sembilan bulan, kemudian lahir jadi seorang manusia!
Biarlah asrama sekolah menengah kota kinabalu ini mendewasa kan aku, sementara aku semampunya melihat keadaan ibu.
Sebelum hari terakhir yang emosi, aku menatap wajah abang, sambil mengemas pakaian, menyumbat di beg sandang yang besar. Namun semasa kucium baju-baju abang, bertukar sendu meramas mataku, lalu menangis di hadapan mereka, akhirnya!
“Kenapa Sopia?” tegur abang Halim. Dua pasang mata lain meninju aku, meneleng seperti dmelihat anak kecil baru belajar menyuap nasi. Abang Roslan melotot, tapi disabarkan abang Hadi.
“Tidak! Berangkatlah. Jangan pedulikan tangisku, abang!” aku cuba mengalih perhatian dan mententeramkan abang Roslan yang panasa baran itu. Tapi, dia mendahului aku.
“Jangan kau hantar sial kepada kami dengan air mata! Menangis boleh dihadapan bapamu, atau adu kepada ibumu yang gila itu!” Abang Roslan membara, terus menempiaskan kebencian kepada ayah dan ibu.
Aku hilang sabar, menyebut ibu seolah-olah tiada adab, aku naik darah.
“Kau ingat aku yang membunuh bapamu lalu kau jadi merempat, hah!”
“Sopia!” abang Hadi terkejut. Tetapi abang Roslan tercabar, meneriak aku:
“Jangan kau perempuan sundal menyebut nama bapaku, kau anak tidak diakui bapamu sendiri!”
“Roslan!” pekik Hadi.
“Kau anak bapamu kurang hajar! Ibuku keluar darah melahirkan kau Cuma jadi dajjal! Muntahkan harta ayahku! ” aku semakin berani, tetapi sepantas kilat, abang Roslan meluru ke arahku, nyaris aku muntah darah jika abang Hadi dan Halim gagal menghalang.
“Sudah Roslan, hentikan!” abang Hadi dan Halim saling rebah menindih tubuh abang Roslan daripada menerjang aku. Nasib baik terjahannya hanya mengenai mulut dan gerahamku, nyeri kurasakan berdarah. Aku terhuyung hayang dan cuba mendekati pintu dapur.
“ Lepaskan!”
“ Jangan Roslan…!!”
“Lepas!! Syaitan!! Biar aku aku hantar anak sial pemakan bangkai ini!”
“Sudah! Roslan. Sudah! Sopiah, jauhkan diri dari sini, pergi!pergi!” teriak abang Hadi. Dalam keadaan masih berpinar-pinar, aku melompat mencapai beg sandangku, menerbos pintu dapur dan lari semahu-mahunya.
“Sopiah! Jangan pergi jauh!” teriak abang Halim.
Aku berhenti sekejap, berpaling kepada abang sambil menahan esakan, “Berangkatlah kalian, abang Halim. Sopia terus ke asrama!”
“Adikk!!”
“Pergilah kamu semua! Aku kembali ke perut ibuku!”
“Sopiaaa!” teriak abang Hadi. Aku terus lari sambil lambai membelakangi mereka , asal jangan dikejar. Biarlah!
Orang ramai, penghuni taman rumah teres yang tadi berkerumun, terlerai, ada yang masih terpingga-pingga denganku.
Aku sebenarnya mahu menghantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Aku ingin menatap wajah abang-abangku, biar tiada sesalan dihati ku ini kalau mereka tidak pulang-pulang lagi ke Sabah, berkahwin dan berkubur di negeri orang. Biarlah!
Alangkah nyeri mulutku, darah kuseka dengan tisu dan gigi ku seperti terlepas dari gusi. Aku masuk ke tanda sebuah restoran dan membasuh mulutku dan rambutku menghilang pening. Telingaku masih berdesing
A ku terus melawat ibu di hospital, menahan tangisku, menghabur segala kekesalanku.
“Apa khabar ibu?” tanya ku perlahan. Ibu hanya menghala jari ke pipiku. Aku cuba menyembunyi air mata dan bibir lebam membengkak dengan sapu tangan.
“Ibu sudah kenal saya, puan?” Tanya ku kurang sabar kepada petugas.
“Seperti biasanya, mereka tidak peduli. Kenapa bibir kamu?”
“Sakit” itu sahaja jawabku sebelum keluar dari wad.
Setiba di asrama, Cikgu Normah memanggil aku, “Tadi ada abangmu ke sini. Lama mereka menunggu…Kenapa bibir kamu, Sopia?”
Aku terus teresak sebaik sahaja cikgu Nomah menyentuh bibir, kemudian dibawa ke bilik guru, dbubuh ubat cair.
“Sampai hati!” getus Cikgu Norma, memeluk dan mengusap belakangku yang bergetar melepaskan tangis.
Semua ini memang mengugat dan menganggu tumpuanku di sekolah, tidak sedikit. Dengan cikgu Normah dan kawan-kawan membuat aku bersemangat, jadual pembelajaran mengeluarkan aku dari putus asa, jangan cuai mengulangkaji pelajaran.
Peperiksaan tiba bagaikan taufan melanda hatiku. Aku khuatir gagal kerana tidak ingin tersadai di negeri ini lagi. Tamat peperiksaan, aku terima pelawaan cikgu Normah tinggal bersama keluarganya. Beberapa kali aku ke hospital menjenguk ibu, semakin tidak mengenali aku, badan semakin susut, bungkuk seperti sabut kelapa. Kulit yang dulu cantik, gebu dan licin, kini berluyutan, tergantung pada tulang, terlantar di katil seperti mumiya, mata terperosok ke dalam, bibir pucat bukan main.
“Ibu kenal Sopia? Cakaplah sedikit…” aku merayu, berbisik dan menangis.
Kemudian,awal subuh aku dikejutkan dengan kematian ibu. Cikgu membawa lari keretanya ke hospital. Aku longlai, menangis melepaskan semua kepiluan kerana yang hidup sihat ini pun tidak dapat membantu meringan kepayahan mengangkat kulitnya sendiri.
Biarlah, terlepas semua kedukaanku.
Semasa diumumkan keputusan peperiksaan SPM, aku memperolehi 11A, tujuh terbaik daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolahku, memang lebih dari mengembirakan.
Dengan bantuan cikgu Normah, kami mengurus kemasukan ke university, mengumpul, mengemas kini akaun kewanganku, lain dari bahagian harta warisan ibu, lain akaun peribadiku nafkah ayah. Memang jumlah besar.
Dua minggu kemudian, pegawai Konsul British di Kota Kinabalu memanggil aku. Kusambut dengan penuh kesyukuran.
Hari terakhir sebelum berangkat, cikgu Normah menghantar aku ke pusara ibu, membacakan surah Yassin dan doa, mengamankan perasaanku meninggalkan segala isi kenangan yang dibawa tertanam tanah pasir itu.
Daripada penyelanggaraan memandi, mengkafan, mengubur dan membaca talkin, oleh pihak jabatan agama dan kakitangan hospital, hanya aku satu-satunya darah daging ibu yang hadir di rumah keluarga cikgu Normah.
Kutinggalkan pesan kepada Cikgu Normah, jika abangku menanyakan, mereka boleh menuntut bahagian harta mereka di pejabat agama, soal kematian ibu, tidak perlu dikesalkan, dihubungi tidak membalas, mungkin sudah hilang di bawah kolong langit ini, sudah mati barangkali!
Selepas suami cikgu membacakan doa dan kami mengaminkan, aku dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sebelum naik pesawat MAS.
Memang bukan ahli keluargaku, tapi apatah salahnya yang menghantar aku berlepas ke seberang laut itu, hanya sepasang suami isteri? Kalaupun bukan ibu bapa, cukuplah jika dalam hati mereka hanya ada satu titik belas kasihan, penguat semangatku, jangan aku terus berduka.
Biarlah. Dengan semua kesakitan kubawa pergi, hanya cikgu Normah yang ,mencium pipi dan ubun-ubunku dan berpesan : ” Selamat berangkat, Sopia. Jaga diri baik-baik. Jangan di lupa kami di sini!”
Seumur hidupku takkan lupa ucapan orang lain yang baik hati. Kalau mereka mengucapkan ini supaya aku jangan aku berpatah hati, tenrtulah aku hargai. Apatah saudara ku sendiri. Tapi mengharap mereka berhalus tutur katapun, seperti tidak sudi, seperti aku telah berbuat dosa dan menzalimi mereka semua. Yang jauh seperti enggan pulang lagi, yang dekat, dirapati malah menista. Mulut mereka hanya berkulum kebencian terhadap arwah ibu, aku seperti pengemis.
Biarlah. Kuseka air mataku. Mudah-mudahan, jika mereka tahu aku ke seberang lautan, mengirim juga doa buat kejayaanku. Jika mereka memilih kesenangan hidup tanpa aku sekalipun, b iarlah. Aku juga cuba mengejar kesenangan itu, juga tanpa mereka, jangan aku pulang-pulang lagi, lebih baik.
Aku masuk ke pintu pemeriksaan lapangan terbang diiringi seorang pegawai Universiti Nottingham, membisikan selamat tinggal kepada ibuku yang sudah tiada, selama hayatku, kurinduinya sampai nafas penghabisanku.