Layang-Layang Meredah Laut
OLEH: Yatim Ahmad
KUTANGGUNG semua musibah yang menimpaku. Tiada lagi abang yang mendengar keluhan, menenangkan jiwa. Mereka sudah berangkat, abang Hadi, yang tua bekerja i kilang elektronik di Pulau Pinang, abang Muhd Roslan yang tengah di Johor Bahru, abang Abdul Halim di Singapura. Dan, aku tersumbat di asrama sekolah!
Sejak ibu terlantar di hospital Mesra Bukit Padang, semua laki-laki itu lari sejauh-jauhnya. Entahkan patah hati, kecewa, entahkan mahu semahunya melepas semua kongkongan menjaga orang tua yang sakit.
Tinggal aku yang mengawasi ibu, melihat setiap inci kulit tubuhnya dikunyah penyaki, hari ke hari.
Apalah yang aku boleh buat. Simpatiku bukan ubat penawar untuk mengurangkan kesakitan ibu,pada masa dia tidak memahaminya, dengan keadaan semakin kurus dan lesu, aku hanya mampu berdoa selalu, jangan ikut sakit kerana dituangkan kepahitan, mungkin jadi tuba, meracun diriku.
Jika ayah tidak peduli, biarlah, yang terlantar itu hanya jandanya. Manakala abang Hadi, Roslan dan Halim hanya anak tiri. Aku pula hanya anak perempuan, tidak ada kekayaan kepadaku ini.
Sayangnya aku kepada ayah. Sejak bercadang bernikah ibuku, memang menimbulkan pertelingkahan dengan dua isterinya. Atas cadangan mereka, ayah dan ibu bernikah sembunyi-sembunyi, menutup malu kononnya. Entah apa syaratnya,selepas aku lahir, mereka meragut ayah perlahan-lahan dari ibuku, mencerca aku seperti bukan anak manusia, hanya anjing!
Anehnya, aku hanya satu-satunya anak perempuan, sedang semua anak ayah daripada dua isterinya laki-laki,barangkali khuatir harta ayah ditumpahkan banyak kepadaku, ibu diperlakukan seperti tidak bermaruah.
Ayahku orang kaya, tentu. Usahawan yang mendapat untung kerana naungan kekayaan ayahnya, datuk ku, seorang tokoh korporat, juga tidak ambil peduli cucunya hidup atau mati. Terserah. Sebagai anak lelaki sulung yang bakal memimpin pelbagai syarikat, nama keluarga jangan diberi malu.
Ibuku cantik, suatu anugerah kerupawan dan anggun wanita. Ditemui seperti sebutir intan yang terkambus dalam kehidupan seorang lelaki, dan selepas suaminya mati, perkabungan dan simpati bekas majikan suaminya, bertukar menjadi intaian nafsu.
Umpan mula dipasang, atas nama simpati menawarkan ibu pekerjaan penganti arwah suaminya, sebagai sebahagian setiausaha syarikat yang tidak berkelayakan kerana hanya berkelulusan SPM. Tetapi perlahan-lahan ditarik, dihias dengan kebendaan, lalu masuk perangkap, dijerumus jadi teman sosial apabila ada urus niaga di luar daerah,luar negeri apa lagi!
Kerana kuatnya tarikan pesona dan aura ibu dan lemah pula laki terhadap cinta, lalu menikah, sembilan bulan ditanggung perut, aku lahir jadi sepenuh manusia. Abang-abang tiri belah ibu jadi manusia beruntung kerana tempias kekayaan ayah tiri mereka.
Semakin hari, intaian kejahatan dipanahkan kearah ibu, lalu menyuntik racun fitnah di kepala ayah, lama kelamaan ikut memaki dan tergamak menuduh aku anak hasil kecurangan, ibu diberhentikan kerja dan dihumban seperti bangkai. Sikap semua abang tiri terhadapku juga berubah!
Semua harta, walaupun milik ibu dengan suami terdahulu, dipungut tanpa rasa malu. Tinggal dua rumah teres, salah satu pusaka suaminya dulu.
Hanya sejumlah wang sara hidup dikirim setiap bulan untuk ku, yang disoraki dua betina itu sebagai belas ihsan buat anak zina!
Sejak bekerja sebagai promoter di sebuah syarikat produk kecantikan, kesihatan ibu semakin hari terus meruncing. Walaupun gejala kerungsingan dan kemurungan menimpanya berbelas tahun dapat dikawal, berubat kampong dan klinik pakar, tetapi sejak lima tahun lalu parasit yang tidak dikenalpasti doktor merengkuh seluruh urat dagingnya seperti akar kanser, lalu suatu hari ibu tiba-tiba histeria di pejabat.
Selepas diihantar pusat perubatan swasta, ibu ditunjuk pula ke hospital Mesra Bukit Padang, terus jadi penghuni tetapnya. Bermula saat itu, tiga abangku yang sudah lama berputus asa kerana tidak mendapat bahagiaan kekayaan ayah tiri mereka, menunding aku sebagai punca malang.
Kalau kepala mereka dibanjiri minuman keras dan pil khayal, ibuku yang juga menumpahkan darahnya sendiri melahirkan mereka , dianggap perempuan yang berkahwin dengan kepala syaitan, lalu melahirkan syaitan kecil.
Memang sebelum bernikah dan aku lahir, ibu sering meninggalkan mereka kerana tugasan luar daerah dan kadang keluar negeri. Ibu pernah berkata, tugas di luar daerah itu memang benar, tetapi kerana selalu terlepas memerhatikan anak-anak, mereka tersasar daripada anak yang rajin bersekolah, jadi anak liar, terpengaruh menyia-nyiakan harta kekayaan bapa tiri, yang disangka dapat terus mengusung hidup mereka sampai mati!
Ulah begini, bukan sahaja merunsingkan ayah, tetapi gara-gara terbuai oleh harta orang, mereka mendedahkan peribadi yang buruk, menunjuk samseng sesama adik beradik tiri, lalu berjangkitan menjadi perbalahan antara madu ayah.
Anak laki-laki yang kononnya mahu mempertahankan hak ibu, akhirnya terjelepuk kerana menyangka bahagian penceraian ibu meninggalkan harta yang tidak habis dibelanjakan. Lalu, harapan yang diciptakan oleh nafsu boros itu, bertukar mimpi ngeri apabila terpaksa bekerja keras untuk memenuhi keperluan hidup.
Pernah ibu berkata kepada ku sebelum histeria dulu, ,”Barangkali dosa ibu dibalas Tuhan di dunia ini. Kalau ibu mati kerana penyakit ini, jangan peduli mereka tidak datang, kerana ibu telah membawa aib, juga terpalit di mukamu. Kuburkan ibu disamping arwah laki ku dulu!”
Semua rahsia ibu tersimpan dalam hatiku. Aku membelanya di hadapan abang kerana aku membenih dan lahir, bukan atas kesilapan, tetapi cinta ayah dan ibu. Aku lahir atas perkahwinan yang sah, tidak ada kena mengena dengan tuduhan nista mulut yang kotor.
Apapun daya ku sekarang hanya menunggu kalau setiap detik dan waktu yang berputar itu menaruh simpati kepada ibu supaya dia sihat sedia kala, jika tidak memang kehendak Tuhan semua. Yang sudah pergi kerana berasakan aib, biarlah berambus saja! Jika mereka terus sampia hati, aku berdoa mereka sempat bertaubat dan bertemu ibu. Aku janganlah dicari.
Biarlah umur mudaku ini merawat baki umur ibu yang terus tergantung di hospital. Mungkin benar kata mereka, aku harus membalas jasa ibu kerana menumpangkan perutnya selama Sembilan bulan, kemudian lahir jadi seorang manusia!
Biarlah asrama sekolah menengah kota kinabalu ini mendewasa kan aku, sementara aku semampunya melihat keadaan ibu.
Sebelum hari terakhir yang emosi, aku menatap wajah abang, sambil mengemas pakaian, menyumbat di beg sandang yang besar. Namun semasa kucium baju-baju abang, bertukar sendu meramas mataku, lalu menangis di hadapan mereka, akhirnya!
“Kenapa Sopia?” tegur abang Halim. Dua pasang mata lain meninju aku, meneleng seperti dmelihat anak kecil baru belajar menyuap nasi. Abang Roslan melotot, tapi disabarkan abang Hadi.
“Tidak! Berangkatlah. Jangan pedulikan tangisku, abang!” aku cuba mengalih perhatian dan mententeramkan abang Roslan yang panasa baran itu. Tapi, dia mendahului aku.
“Jangan kau hantar sial kepada kami dengan air mata! Menangis boleh dihadapan bapamu, atau adu kepada ibumu yang gila itu!” Abang Roslan membara, terus menempiaskan kebencian kepada ayah dan ibu.
Aku hilang sabar, menyebut ibu seolah-olah tiada adab, aku naik darah.
“Kau ingat aku yang membunuh bapamu lalu kau jadi merempat, hah!”
“Sopia!” abang Hadi terkejut. Tetapi abang Roslan tercabar, meneriak aku:
“Jangan kau perempuan sundal menyebut nama bapaku, kau anak tidak diakui bapamu sendiri!”
“Roslan!” pekik Hadi.
“Kau anak bapamu kurang hajar! Ibuku keluar darah melahirkan kau Cuma jadi dajjal! Muntahkan harta ayahku! ” aku semakin berani, tetapi sepantas kilat, abang Roslan meluru ke arahku, nyaris aku muntah darah jika abang Hadi dan Halim gagal menghalang.
“Sudah Roslan, hentikan!” abang Hadi dan Halim saling rebah menindih tubuh abang Roslan daripada menerjang aku. Nasib baik terjahannya hanya mengenai mulut dan gerahamku, nyeri kurasakan berdarah. Aku terhuyung hayang dan cuba mendekati pintu dapur.
“ Lepaskan!”
“ Jangan Roslan…!!”
“Lepas!! Syaitan!! Biar aku aku hantar anak sial pemakan bangkai ini!”
“Sudah! Roslan. Sudah! Sopiah, jauhkan diri dari sini, pergi!pergi!” teriak abang Hadi. Dalam keadaan masih berpinar-pinar, aku melompat mencapai beg sandangku, menerbos pintu dapur dan lari semahu-mahunya.
“Sopiah! Jangan pergi jauh!” teriak abang Halim.
Aku berhenti sekejap, berpaling kepada abang sambil menahan esakan, “Berangkatlah kalian, abang Halim. Sopia terus ke asrama!”
“Adikk!!”
“Pergilah kamu semua! Aku kembali ke perut ibuku!”
“Sopiaaa!” teriak abang Hadi. Aku terus lari sambil lambai membelakangi mereka , asal jangan dikejar. Biarlah!
Orang ramai, penghuni taman rumah teres yang tadi berkerumun, terlerai, ada yang masih terpingga-pingga denganku.
Aku sebenarnya mahu menghantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Aku ingin menatap wajah abang-abangku, biar tiada sesalan dihati ku ini kalau mereka tidak pulang-pulang lagi ke Sabah, berkahwin dan berkubur di negeri orang. Biarlah!
Alangkah nyeri mulutku, darah kuseka dengan tisu dan gigi ku seperti terlepas dari gusi. Aku masuk ke tanda sebuah restoran dan membasuh mulutku dan rambutku menghilang pening. Telingaku masih berdesing
A ku terus melawat ibu di hospital, menahan tangisku, menghabur segala kekesalanku.
“Apa khabar ibu?” tanya ku perlahan. Ibu hanya menghala jari ke pipiku. Aku cuba menyembunyi air mata dan bibir lebam membengkak dengan sapu tangan.
“Ibu sudah kenal saya, puan?” Tanya ku kurang sabar kepada petugas.
“Seperti biasanya, mereka tidak peduli. Kenapa bibir kamu?”
“Sakit” itu sahaja jawabku sebelum keluar dari wad.
Setiba di asrama, Cikgu Normah memanggil aku, “Tadi ada abangmu ke sini. Lama mereka menunggu…Kenapa bibir kamu, Sopia?”
Aku terus teresak sebaik sahaja cikgu Nomah menyentuh bibir, kemudian dibawa ke bilik guru, dbubuh ubat cair.
“Sampai hati!” getus Cikgu Norma, memeluk dan mengusap belakangku yang bergetar melepaskan tangis.
Semua ini memang mengugat dan menganggu tumpuanku di sekolah, tidak sedikit. Dengan cikgu Normah dan kawan-kawan membuat aku bersemangat, jadual pembelajaran mengeluarkan aku dari putus asa, jangan cuai mengulangkaji pelajaran.
Peperiksaan tiba bagaikan taufan melanda hatiku. Aku khuatir gagal kerana tidak ingin tersadai di negeri ini lagi. Tamat peperiksaan, aku terima pelawaan cikgu Normah tinggal bersama keluarganya. Beberapa kali aku ke hospital menjenguk ibu, semakin tidak mengenali aku, badan semakin susut, bungkuk seperti sabut kelapa. Kulit yang dulu cantik, gebu dan licin, kini berluyutan, tergantung pada tulang, terlantar di katil seperti mumiya, mata terperosok ke dalam, bibir pucat bukan main.
“Ibu kenal Sopia? Cakaplah sedikit…” aku merayu, berbisik dan menangis.
Kemudian,awal subuh aku dikejutkan dengan kematian ibu. Cikgu membawa lari keretanya ke hospital. Aku longlai, menangis melepaskan semua kepiluan kerana yang hidup sihat ini pun tidak dapat membantu meringan kepayahan mengangkat kulitnya sendiri.
Biarlah, terlepas semua kedukaanku.
Semasa diumumkan keputusan peperiksaan SPM, aku memperolehi 11A, tujuh terbaik daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolahku, memang lebih dari mengembirakan.
Dengan bantuan cikgu Normah, kami mengurus kemasukan ke university, mengumpul, mengemas kini akaun kewanganku, lain dari bahagian harta warisan ibu, lain akaun peribadiku nafkah ayah. Memang jumlah besar.
Dua minggu kemudian, pegawai Konsul British di Kota Kinabalu memanggil aku. Kusambut dengan penuh kesyukuran.
Hari terakhir sebelum berangkat, cikgu Normah menghantar aku ke pusara ibu, membacakan surah Yassin dan doa, mengamankan perasaanku meninggalkan segala isi kenangan yang dibawa tertanam tanah pasir itu.
Daripada penyelanggaraan memandi, mengkafan, mengubur dan membaca talkin, oleh pihak jabatan agama dan kakitangan hospital, hanya aku satu-satunya darah daging ibu yang hadir di rumah keluarga cikgu Normah.
Kutinggalkan pesan kepada Cikgu Normah, jika abangku menanyakan, mereka boleh menuntut bahagian harta mereka di pejabat agama, soal kematian ibu, tidak perlu dikesalkan, dihubungi tidak membalas, mungkin sudah hilang di bawah kolong langit ini, sudah mati barangkali!
Selepas suami cikgu membacakan doa dan kami mengaminkan, aku dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sebelum naik pesawat MAS.
Memang bukan ahli keluargaku, tapi apatah salahnya yang menghantar aku berlepas ke seberang laut itu, hanya sepasang suami isteri? Kalaupun bukan ibu bapa, cukuplah jika dalam hati mereka hanya ada satu titik belas kasihan, penguat semangatku, jangan aku terus berduka.
Biarlah. Dengan semua kesakitan kubawa pergi, hanya cikgu Normah yang ,mencium pipi dan ubun-ubunku dan berpesan : ” Selamat berangkat, Sopia. Jaga diri baik-baik. Jangan di lupa kami di sini!”
Seumur hidupku takkan lupa ucapan orang lain yang baik hati. Kalau mereka mengucapkan ini supaya aku jangan aku berpatah hati, tenrtulah aku hargai. Apatah saudara ku sendiri. Tapi mengharap mereka berhalus tutur katapun, seperti tidak sudi, seperti aku telah berbuat dosa dan menzalimi mereka semua. Yang jauh seperti enggan pulang lagi, yang dekat, dirapati malah menista. Mulut mereka hanya berkulum kebencian terhadap arwah ibu, aku seperti pengemis.
Biarlah. Kuseka air mataku. Mudah-mudahan, jika mereka tahu aku ke seberang lautan, mengirim juga doa buat kejayaanku. Jika mereka memilih kesenangan hidup tanpa aku sekalipun, b iarlah. Aku juga cuba mengejar kesenangan itu, juga tanpa mereka, jangan aku pulang-pulang lagi, lebih baik.
Aku masuk ke pintu pemeriksaan lapangan terbang diiringi seorang pegawai Universiti Nottingham, membisikan selamat tinggal kepada ibuku yang sudah tiada, selama hayatku, kurinduinya sampai nafas penghabisanku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan