Sabtu, 24 Disember 2011


Nyiur Gading Tinggi Menjulang
   OLEH: Yatim Ahmad
PESAWAT Penerbangan Malaysia meninggalkan tanah semenanjung nun di bawah seperti sekeping layang-layang. Ketinggian kapal mencecah ribuan meter mula menyeberang Laut Cina Selatan, menerbangkan aku dan penumpang lain ke Kota Kinabalu. Aku menoleh makcik Dayangku Zaharah dan suaminya duduk di barisan sebelah, juga menoleh kepada ku, berbalas senyum, walaupun makcik Zaharah agak resah. Kasihan dia.
                Dan inilah penerbangan yang ku tunggu sejak enam tahun lalu, sejak melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, kembali semula ke pangkuan keluarga.
                Selama dua jam lebih penerbangan rasanya terlalu lambat, nenek dan sepupuku, tiga anak makcik Zaharah, menunggu kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Aku selamanya penyabar. Enam tahun telah kulalui, dan ini hanya dua jam lebih, semua kedukaan dan rinduku ikut menyongsong angin seperti sayap Boeing 747-400 yang tergantung diudara, ikut menghayun rinduku yang terkumpul lama di dada, bakal terlerai sudah.
Sekali ini, walaupunselepas ini kami berpisah lagi, kelak aku rancang membawa mereka makan angin kemana sahaja, sebulan penuhpun tidak mengapa.
      Saat untuk memulakan kerjaya memang mengujakan. Bahagia rasanya, walaupun ada sedikit kebimbangan, terutama kesihatan nenek. Tapi, tidak kira di mana sahaja aku bertugas dan memilihnya, aku amat berharap Ayah dan emak ikut ke Sabah, tutut meraikan kejayaanku bersama keluarga di sana, sekalipun hanya sehari.
Masa bersama bukan lagi milik kami sekarang, entah bila kelapangan itu tiba. Keadaan tidak lagi seperti dahulu, jika kedewasaan adalah untuk memilih, maka aku telah memilih untuk lebih mendewasakan diri, mencari pengalaman jauh-jauh, kelak sekali bertemu, berlebihlah kasih sayang itu bererti.
Dan kedewasaan ini, walaupun aku telah mendapat perhatian, banyak atau sedikit, sejak  tahun tiga di sekolah rendah hingga bergelar siswazah, aku tidak pernah menuntut yang bukan-bukan supayasejak dahulu, supaya ayah terus tinggal bersama keluarga di Sabah, dan sekarang aku pula tidak dapat dituntut memenuhi keinginan mereka.
Tapi, aku pendamkan saja semua ini. Lebih baik menerima keadaan sekarang, yang sudah, biarlah berlalu sudah, jangan memberati dengan masa silam.
                Enam tahun lalu, perasaan begini kurasai, menginginkan makcik dan nenek menyertai aku ke Kuala Lumpur. Mengingin pula orang yang sudah tiada, tertanam di pusara itu, ikut serta.
Aku mungkin gila atau separuh gila, tidak cukup mengenang ibu dengan setangkai bunga emas yang kugubah sendiri, ku letak di pusara, sebelum berangkat ke KL, memesan ia dijaga. Kalau-kalau aku dapat menghabiskan pengajian, panjang umur, aku ingin ia ada di situ.
Dengan keadaan di mana semua kecelaruan perasaan itu menghibakan, kutanggung diam-diam hingga kini, jadi kenangan seumur hidupku.
Selepas mendapat ijazah sarjana muda kedoktoran yang ku usaha enam tahun, aku berdoa menjadi anak yang baik dan disayangi keluarga. Mungkin yang sudah tiada itupun dapat merasakan.
                Kepada arwah ibu, aku masih teguh berdoa, kepada Allah juga aku memohon siraman ketenangan, supaya keputusan yang aku buat selepas ini, bukan atas kejengkelan masa laluku. Kerana selama aku hidup di bawah jagaan saudara, bukan ibuku, hanya gambar kenangan ibu menguatkan diri, jangan terus patah hati.
                  Sungguh. Betapa aku mengenang ditarik dari sekolah oleh Makcik Zaharah, lalu bersegera pulang ke rumah, melihat sekujur tubuh ibu yang tercungap-cungap, yang ku panggil tidak lagi menyahut, hanya mengenggam erat jemari ibu dengan suara kurintih, kemudian ibu seperti tidak pernah mengenal ku lagi.
                Ayah pula masih di Perak, menghadiri konvensyen syarikat jualan langsung di Kuala Kangsar, terus pulang setelah mendapat berita. Dengan jenazah ibu menunggu dikuburkan, badanku terbahagi mengasihani ayah, juga payah di pegang, dipeluk jangan terlepas merakul jenazah, hanya tahu memanggil ibu, menangis.
                 Aku sebenarnya hanya ingin mendekati jenazah ibu yang berbalut kain putih itu, tapi mereka tidak memahaminya, seperti tidak memahami permintaanku, yang jelas kupujuk mereka supaya aku tetap disisi jenazah ibu, sebelum di bawa pergi, sebelum yang terakhir, dikuburkan, dan terlepas semua pandanganku buat ibu, selama-lama.
Mungkin mereka mendengar permintaanku, seperti bahasa orang yang muncul dari taufan ribut, khuatir menerbangkan jenazah ibu.
                Betapa aku memahami Takdir pada umur yang mentah, sedang dua hari sebelum ajal, ibu memintal tocang rambutku, sementara ayah bergurau dengan kami, sambil membuat catatan sebelum berangkat ke Perak untuk menghadiri mesyuarat di sana. Ibu kelihatan sihat benar, seolah penyakit barah payu daranya hampir seratus peratus sembuh selepas sebulan di hospital.
                Selepas kenduri 40 hari, atas persetujuan ayah, rumah kami disewakan, dan aku tinggal bersama nenek di rumah makcik Zaharah. Mungkin terpukul kematian ibu, ayah lebih banyak memenuhi jadual perniagaannya, kemudian dilantik mengetuai rangkaian baru di Perak, negeri kelahirannya.
                Aku tergamam. Resah kesana kemari, mahu bersama ayah, tetapi ditunda kerana terlebih dahulu mengurus persekolahan di sana, kononnya, sedang aku tidak menyedari ini semua rancangan supaya aku tinggal terus bersama Makcik Zaharah.
                Siapa lagi kuharap membantu, meminta yang diam dalam tanah, memujuk orang yang hidup itukah, atau aku terus menunggu harapan?
Bertahun aku menunggu dipindahkan, walaupun semakin serasi bersama keluarga makcik Zaharah dan nenek yang mengasihi aku, tapi semakin aku rasa seperti anak terbuang!
Jiwa yang ditikam tanpa tahu benar muslihat menjarakkan masa dan tempat tinggal dengan ayah, seolah-olah suami arwah ibu ku juga ikut mati!
                Walaupun sekali dalam beberapa bulan ayah menjenguk, pertemuan itu hanya seperti suntikan penyakit membuat aku tambah kurus. Kadang ayah hanya seperti seorang tetamu kehormat, duduk sebentar dengan hidangan teh, membuka bungkusan hadiah, dihulur kepadalu, kemudian pergi seperti aku anak patung yang geremos. Terbata-bata.
                Memasuki tingkatan satu menambah sukar pertemuan kami, terbiasa pula tanpa ayah pada Hari Raya Aidil Fitri, bersendirian menziarahi pusara ibu. Akhirnya, ketiadaan ayah rasanya lebih menyenangkan aku, tenteram semua jiwa yang pahit.
                Kemudian hari mendukacita itu tiba tanpa kuelak. Kunjungan ayah sekali itu membawa khabar akan berkahwin. Walaupun aku dan makcik ikut ke Perak meraikan majlis perkahwinan, berkenalan dengan emak, aku seperti orang asing ditengah keramaian yang meriah, seumpama perkahwinan anak-anak raja. Aku tinggal melangui!
                Semua yang aku alami semasa kecil, meningkat remaja, kukumpul erat dengan telahan yang saksama, jangan terus berjauh hati dengan ayah, atau jika ayah sendiri melepas semua ikatan, apa aku boleh buat? Menerimanya lebih baik atau aku terus jadi anak tunggul menunggu wang kiriman seperti pengemis.
Semasa bercuti semester pada tahun pertama aku di Universiti Malaya, ayah muncul membawa pulang ke Kuala Kangsar. Walaupun aku berat hati, untuk belajar menjadi sebahagian keluarga ayah, atau aku pulang bersama rakan sekolej ke rumah keluarganya di Melaka, menjadi keluarga angkat mereka.
Dengan atuk sangat memaksa ayah kerana kepingin bertemu aku, cucu perempuannya yang maju ini, mungkin mahu memanjakan, atau barangkali mahu mengubat hati yang sepi merindukan keluarga di Sabah, akhirnya aku mengalah kerana ayah dan emak menunggu di luar kolej kediaman.
                 Suatu ketika, semasa minum teh petang, ayah dan emak pula di Kuala Lumpur, atuk menceritakan keadaan ayah selepas ibu meninggal.
                “Ayah kamu tu, selepas ibu kamu meninggal, macam kurang siuman. Kerja tertangguh dan tidak pulang ke Sabah. Kadang-kadang, berjalan kaki entah ke mana, seperti tidak terurus lagi. Jadi, atuk bawa ke hospital menjalani rawatan kaunseling. Kata Doktor, ayah terlalu banyak berfikir. Tapi, tahapnya pada masa itu agak serius,” Perlahan-lahan atuk bercerita.
                Aku merenung atuk: “Kenapa ayah tidak beritahu Zana, Tuk?”
                “Ayah enggan kerana tidak mahu Zana pula cemas di Sabah. Untungnya, keluarga lain turut membantu meredakan kerungsingan ayah kamu. Berubat kampungpun ada. Tapi, pada masa itu ayah ada mempunyai seorang rakan karib, bekas rakan sekolah...rakan karib, faham? Yang pandai mengambil berat tu..?”
Kami ketawa kerana nada suara atuk melucukan.
                “Rakan karib ayah kamu tu, dialah yang tolong nasihatkan, pujuk, macam-macamlah. Saudara belah atuk juga. Sepupu dua kali. Barangkali, Allah datangkan ubat buat ayah kamu,”
                “Perempuankah Tuk?”
                “Iyalaah!”
“Mana perginya rakan karib ayah tu sekarang tuk?”
 “Eh!Emak kamu tu laah!”
Mendengar cerita atuk, aku terus menghubungi ayah di KL, bertanya bila ayah pulang.
                “Ayah dan emak balik awal pagi esok. Apa hal tu, Zana? Cemas sahaja, atuk kamu tak apa-apakah?
                “Zana rindu ayah. Balik cepat, pastikan ayah dan emak selamat!” aku mematikan telefon bimbit.
                Sejak itu, aku cuba memadam semua perasangkaan terhadap ayah. Emak pula mengambil berat jika tidak menyertai urusan perniagaan dengan ayah ke KL, menjaga aku, membawa makan angin, sesungguhnya, semua menyenangkan hati.
                Sementara, enam tahun aku tidak pulang, kesihatan nenek kadang tergugat. Memang payah menjelaskan penerbangan murah bukan bererti mudah pulang begitu sahaja. Sedangkan balik bercuti dua-tiga hari di kampung ayah melemahkan kudratku. Dengan bebanan kerja kuliah yang menumpuk, semakin aku letih, semakin aku lemah, semakin aku memaksa bertahan.
Aku bukannya pelajar yang memiliki kekuatan tenaga berbanding siswi lain, hanya azam menyandar tubuhku, jangan tumbang, lemas tidak berdaya, seperti sehari selsema, aku jadi seperti daun sayur yang layu.
      Dengan penumpuan sepenuhnya di kampus, membantu melancarkan kegiatan kepimpinan pelajar, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), menyertai program kebajikan pelajar, memenuhi tugas di Fakulti Perubatan, aku berharap tiada malapetaka baru yang mungkin melemahkan aku.
Hanya makcik Zaharah faham situasiku di kampus, mencipta kejayaan, perlu komitmen, bukan pula membuang-buang masa,mencicirkan cita-cita, pulang hanya menyenangkan hati.
                Dengan nenek ditemani ramai sepupuku, anak makcik Zaharah, keluarga ayah juga bertambah empat dengan dua adik lelakiku, aku semakin tenang di dewan kuliah, menjalani praktikal di Hospital Universiti dan menyiapkan kerja lapangan dengan senang hati. Jika apa-apa berlaku kepada mereka, bahkan banyak pembantu, mengurangkan kesulitan. Aku pula jangan dikisah.  
Semuanya menuntut perhatian tidak sedikit, seratus peratus, biar kubayar dengan kesihatan sendiri, sampai kurus melidi, asal jangan cita-cita terkulai terus, masa depan jadi tandus.
Jadi, kedewasaan ini menjadikan aku emosi, mengetahui pula helah ayah dan keluarga menahan aku daripada ikuti pindah ke Perak, dulu, aku maafkan sahaja. Aku tiada hak untuk meminta lebih, dengan umur yang mentah, tiada siapa yang sudi menolong, hanya menurut.
Biarlah. Masa sudah berlalu. Sejak itu, aku sentiasa menambah kekuatan diri dan gagah semahu-mahunya,agar semangat jangan patah oleh apapun. Aku mencipta harapanku sendiri, supaya lulus peperiksaan memperolehi 13A dan memasuki universiti.
                Selepas tamat pengajian, aku mengambil keputusan terus menjalani praktikal di Hospital Universiti. Terus mendalami ilmu, menepis hubungan cinta di kampus. Kira-kira enam bulan lamanya aku disana sementara menunggu majlis konvokesyen. Seminggu sebelum majlis berlangsung, makcik Zaharah bersama suami datang ke KL untuk menghadiri konvo dan kami ke Kuala Kangsar, menghabiskan masa bersama keluarga ayah di sana.
                Saat berbahagia itu tiba di mana aku tidak menyangka menerima anugerah Naib Canselor kerana sumbangan dalam kepimpinan pelajar dan kecemerlangan akademik.
Semuanya, kini, kegembiraan yang kubawa pulang kepangkuan nenek, yang mula-mula meraikannya adalah makcik Zaharah serta suami, ayah dan emak.
                Sehari selepas konvo, kami pulang ke Sabah. Ayah dan emak hanya menghantar di airport, tidak seperti yang kuharapkan ikut terus ke Sabah. Tetapi, jadual perniagaan yang sibuk, membuat aku hampir memusuhi Kuala Lumpur yang sering menunda keinginanku untuk bersama keluarga.
                Tidak dapatku berkata sewajarnya, mengucap terima kasih kepada emak yang memerhatikan diriku, dengan atuk tidak henti-hentinya merangsang semangatku, dengan dua adik lelakiku yang semakin membesar, juga menceriakan aku.
Emak mewajarkan keibuaan yang manis dengan kasih sayang, tak berbelah bagi, bukan anak kandung, membuat aku turut disayangi saudara maranya. Walaupun ibu kandungku yang pertama dan terakhir sudah tiada, emak pula ingin memiliki aku sebagai anak perempuan kandung, tetapi tiada sesiapa, hatta diriku dapat memberikanharapan yang dimintanya itu, melainkan keikhlasan pada simpulan kasih ayah. 
Mudah-mudahan emak mengerti jua. Semua kenangan itu kubawa pulang, juga yang kukenal di Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur, walau tidak menanya perasaanku di negeri orang, ikut memberi semangat, supaya aku jadi manusia yang tahu mengenang budi.
Aku pulang ke Sabah. Menjenguk pusara ibu. Dunia mungkin berubah, tapi hati tetap akan mengingati dan berdoa untuk keselamatan kami semua, Insya-Allah!
                “Sebelum keluar negara, telefonlah emak, Zana. Kirim salam dengan nenek,” Emak kupeluk, melepaskan semua terima kasihku, membuat aku meggeletar. Semua bebanan dada ku yang memberat, kulepaskan di dadanya, daripada belajar mengenali, mengasihi emak dan mencintainya, kemudian menjadi sebahagian hidupnya di tanah Malaya ini.
                “Zana sayang emak,” Hanya itu yang kuluah. Tak mampu dengan gelombang dada yang menyesak ini. Emak mengesat pipiku.
“Jagalah diri baik-baik, anakku. Sayang kau keluar negeri, kalau ayah dapat memujuk supaya ia ditunda, ” aku menyambut tangan ayah dengan sepuluh jari ku.
“Zana juga sayang ayah,” agak lama kuletakkan pipi di tangan ayah selepas menciumnya, menahan hiba, kerana tangan inilah pernah membelai arwah ibuku, mengasihi aku, anaknya.
                “Zana mohon maaf, yah. bukan tidak mahu terima tawaran ayah membuka klinik sendiri, tapi nantilah, cari pengalaman dahulu,” Aku melawan sebak dadaku, jangan ayah berkecil hati.
                “K amu tetap anak ayah yang baik,”
                Selepas mendakap dan mengucup pipi adik lelakiku, kami berpisah. Makcik Zahara menghampirku, mengenggam tangan, membimbing kami ke pintu pemeriksaan.
                Dengan pendaratan pesawat berbaki beberapa minit lagi, aku membetulkan tudung, khuatir nenek membanding aku dengan arwah ibu yang suka kekemasan, menjaga penampilan jangan seperti anak ayam yang terus berkiap kehilangan indung.
                Selepas mendarat dan masa bertenang, kami keluar dari pesawat, sementara suami makcik menunggu bagasi, aku terus keluar dari bilik ketibaan, dikerumuni sepupu yang kuseret memeluk nenek dengan hibaanku.
Lalu, kutuangkan semua kedukaanku di dadanya.Nyeri kurasakan kegembiraan sekejap ini. Kami  terus ke pusara ibu, dengan sekuntum bunga emas ku genggam di dada, dekat nisan ibu, tak tertahan daku merintih bacakan surah Yassin, mengalir semua kehibaan di dada yang terkumpul sejak ibu tiada. Kemudian memberitahu kepulanganku, dan pergi sekali lagi, seperti yang di bawah tanah pusara itu datang memujuk.
Mungkin juga beberapa hari ini nenek bersedih semula, pada masa sesuai kuberitahu jua, hanya sebulan sahaja kami bersama. Selepas itu aku akan berangkat, kali ini keluar negara, menyertai kesatuan perubatan antarabangsa di Perancis, sambil melanjutkan pengajian sarjana, kemudian PhD di negara itu. Dan yang ini mungkin lebih lama lagi, seperti arwah ibu, meninggalkan semua orang yang kukenal di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan